subscribe: Posts | Comments | Email

Gelombang yang membimbangkan Harga naik: Masa untuk berubah

Politik Melayu Kembali Ke Era Pra-matang

0 comments
Politik Melayu Kembali Ke Era Pra-matang

Sedih mengenangkan kemelut politik orang Melayu. Bertingkah sampai bercerai, berbalah bak kokok berderai. Sahut menyahut kata nista, caci maki dan mengata, tak puas hati, dendam kesumat semuanya sudah jadi ‘tag’ – tanda orang Melayu. Tak lekat semua satu pasti ada. Kelompok, puak, kroni dan segala macam jadi teras politik orang Melayu. Kata pepatah ‘Bersatu itu Teguh..’  hanya terpakai dalam garis lingkungan sendiri bukan untuk sesama bangsa. Ingatkan sesudah selesai PRU boleh duduk makan semeja, rupanya tidak makin keruh di hulu semakin kelam di muara. Elemen ‘ketidakpastian’ adalah satu kekurangan yang nyata.

Dimana silapnya, jika merujuk pada dua parti utama yang jadi peneraju orang Melayu iaitu UMNO dan PAS, maka sinar terang masih tidak kelihatan. Sungguh yang kelihatan menang dalam PRU suara keadilan dan kuasa baru yang lebih transparent melalui Pakatan Rakyat namun terlalu awal untuk mengatakan PKR mewakili orang Melayu seluruhnya. Hasil dan natijah PRU baru lalu, jelas menampakkan rakyat memilih prinsip bukan simbol dan institusi. Dengan kata lain intinya. Kekurangan ini jelas pada UMNO, PAS selamat kerana terus berpegang dan menjulang al Quran dan as Sunnah; kerana keduanya adalah teras segala inti.

Inilah yang tidak difahami oleh Melayu UMNO hingga ke akhirnya, mereka hanya memperjuangkan slogan, simbol dan institusi (dan keris juga…). Bukan tidak ada arus dan kelompok yang teguh memperjuangkan ‘inti’ dalam UMNO, pasti ada; tetapi persoalannya berapa kerat dan apakah ia membudaya? Jika kenyataan tadi dipertikai, mengapa orang Melayu UMNO sendiri dan Melayu lainnya ‘cuak’ untuk memilih BN-UMNO dalam PRU baru lalu. Berapa ramai atau berapa kuat arus mempertahan dan memperjuangkan bahasa Melayu, tanah Rezab orang Melayu, agama orang Melayu dari terus dicemari dari anasir murtad dan elemen fasik. Betapa bobroknya akhlak remaja Melayu hanya jadi bahan cerita buat pelaris media. Berapa ramai pendekar dan pahlawan Melayu yang tampil secara konsisten dan sanggup berhujan panas mempertahankan segala isu-isu tadi. Sepertimana sesetangah mereka yang gagah mempertahankan jawatan dan kerusi; yang sanggup berkerat rotan dan berpatah arang. Dimanakah mereka? Kini UMNO hilang punca terpaksa mencari kekuatan luar, simpati sebetulnya. Parti yang dahulunya gah kini bak singa tua yang hilang taringnya. Tinggallah anak-anak singa (cub) – si simba.

Dalam masa yang sama PAS tidak diterima secara total oleh orang Melayu kerana fakotr yang pelbagai.  Jika ada yang menyokong PAS mungkin hanya kerana Tuan Guru dan negeri ’serambi Mekah’ atau kerana tetap pada prinsip Shariah dan berbagai faktor yang terpisah-pisah. Maka PAS masih perlu berusaha untuk diterima sebagai yang dominan (melalui dakwah dan tarbiah barangkali). PKR masih mencuba ’resipi’ baru buat mengubat duka lara orang Melayu, Cina, India, Iban, Serani dan pelbagai lagi. Diantara celah dan kemelut itu kelihatan ‘tongkat sakti’ orang Melayu yang tidak pasti siapa empunyanya? Siapa yang bersedia untuk menyambut ‘tongkat’ itu lalu melangkah gagah masih menjadi tanda tanya?

Share and Enjoy:
  • Print
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • Blogplay

Leave a Reply