DI SEBALIK KARYA 2012:DI AMBANG ARMAGEDDON
Setelah gerhana matahari saya tidak menulis lagi, bukan kerana gerhana; tetapi kerana saya perlu menyudahkan karya 2012:Di Ambang Armageddon. Saya perlu fokus. Sebuah karya yang perlu diselesaikan pada akhir Januari. Saya perlu patuh pada tarikh itu jika mahu karya ini diterbitkan semasa Pesta Buku pada bulan Mac nanti. Ia sebuah karya berat penuh dengan fakta, ia tergolong kategori ilmiah. Untuk tidak menjadikan ia terlalu akademik sifatnya saya kena mengolah karya ini menjadi karya fiksi-misteri-ilmiah. Saya adun semua ramuan ini menjadi satu, agar nantinya sedap dibaca orang – santai dan terhibur.
Mana tidaknya bab satu (1), sarat dengan fakta sains astronomi. Lima (5) buah karya Mayanologi saya terpaksa cerakinkan; bagaimana tarikh 21 Disember 2012 ditemukan oleh kaum asli Mayan. Dua (2) artifek purba kaum Mayan yang dicipta pada zaman berbeza iaitu pada Olmec dan Aztec saya cantum menjadi satu. Batu nisan stelee yang diukir halus punya makna yang sama dengan kalender Long Count Aztec. Hampir saja saya hilang ayat untuk menjelaskan semua ini, bagaimana kedua-dua artifek ini menunjuk dengan tepat tarikh 21 Disember 2012.

Rupanya ilmu kaum asli Maya jauh lebih hebat dari apa yang kita jangkakan. Mereka adalah ahli kosmologi. Terlalu sukar untuk dipercayai, kaum Maya mencipta instrument menghitung masa ke hadapan dan mampu mundur ke belakang. Pada era Sebelum Masehi 1,500 tahun mereka telah mengolah ujikaji masa. Bagaimana masa berfungsi dan apakah jarak dan ruang mempengaruhi masa. Di lokasi yang amat terasing, dan pada era sekitar nubuwat nabi Musa as. Subjek sifat masa dan kelakuannya hanya dapat ditemui dalam karya moden. Lalu saya cari karya Albert Einstein, Isaac Newton dan Stephen Hawking-benar pada mereka topik masa, ruang dan benda telah dibincangkan. Saya cuba mengali kahzanah silam ketika Ibnu Haitam membicarakan subjek yang sama, tetapi sayang saya tidak menemukan naskah itu yang lebih rinci.
Sekali lagi saya cuba menghubungkan dua (2) era berbeza apa yang ditemui oleh Dukun Agung kaum Maya dengan Theory of Everything Stephen Hawking. Ketika saya cuba mengupas idea The Origin of Universe saya terhenti disitu, bukan ini yang saya cari. Dan barangkali bukan ini yang Stephen Hawking ketemu – dia sebenarnya mencari Tuhan! Baca Bab Satu (1) nanti anda akan faham.
Oleh kerana semua orang bercakap tentang kiamat pada 2012 maka saya cuba mencari locus standi-nya. Malangnya tidak saya ketemu. Sungguhpun semua ramalan saya himpun bermula dari bait qauratin Nostradamus, I-Ching, Hopi, Dogon, Bible Code sehinggalah ke sang alchemist misteri Fulacanelli yang saya temui adalah telahan yang disalin-salin. Disorok dalam inskripsi dan kod-kod misteri. Ada seseorang yang melakukannya – seorang genius lagi licik. Sehingga saya dapat menemukan buktinya biarlah ia kekal misteri.Semua saya tulis dalam Bab Dua (2).
Saya diberitahu semua ini adalah sebuah konspirasi, lalu saya tulis dalam Bab Tiga (3). Sebuah konspirasi mega. istilah baru yang saya beri punya nilai komersial yang tinggi-konspirasi galaktik. Ia sebuah peta yang sudah dilakarkan – peta masa hadapan yang penuh suram. Di ambang Armageddon. Itulah tempat yang semua orang tidak akan tuju jika mereka tahu. Perang di medan Meggido, demi memunculkan sang wira penyelamat dunia-Messiah. Sebuah hikayat para Judais yang dicanang merata, bahkan dengan sebuah keyakinan jitu. Bangsa Yahudi akan menang. Ironisnya kaum Yahudi orthodoks tidak pernah setuju kata mereka ia bukan ajaran Yahudi sematik tulen, ia adalah agenda zionis. Malang tidak ada fakta yang dapat saya kutip, hanya cebisan dari tulisan Muhammad Isa Dawud yang dapat saya titip. Di laman web kenyataan Yahudi orthodoks dipadamakan sama sekali. Maka kekal Bab Tiga (3) ini dengan ulasan jalur konspirasi. Saya pernah membaca dokumen The Protocols of the Meetings of the Learned Elders of Zion terjemahan Victor E. Marsden tetapi tidak pernah memberi ulasan sehinga bab ini ditulis. Ia ada dalam Bab Tiga (3) karya ini.
Karya ini sebetulnya adalah naskah dakwah. Dalam titis darah ini mengalir warisan ulama’ silam yang saya kenal. Ayah sempat memberitahu sebelum dia kembali mengadap Ilahi. Bahawa dalam jalur keturunan kita ada wali. Maka dalam Bab Empat (4) dan Lima (5) saya serlahkan semua, khazanah da’wah yang sudah saya pelajari. Ia bukan bakat lagi, ia adalah seni. Maka saya pancakkan ia di medan ini. Kemudian saya serahkan kepada Allah semoga dia datangkan segera bantuan demi membantu ummat yang sangat tenat. Entah bagaimana kisah kebangkitan Imam Mahdi saya tamatkan dalam karya ini. Ia adalah penutup bagi semua salsilah dan sanad.
Telah saya serahkan karya ini untuk suntingan penerbit. Saya bertawakkal denganNya. Sebuah karya besar dari seorang yang kerdil. Walahu’alam.
Nantikan kemunculannya…













