Hujan lebat turun mencurah-curah. Air limbah melimpah bersama bau hanyir sampah dan kotoran, ia amat meloyakan. Ketika menunggu hujan reda itulah perbualan sastera Melayu nusantara bermula. Teman saya mengenal saya dan menyapa satu soalan mudah. Kemana arah sastera Melayu kita dan apa agaknya peranan penulis dalam membina jati diri anak bangsa?
Saya diam, tidak membalas. Saya cuba mengumpul jawapan. Sambil memerhati rintik hujan jatuh di kaki.
Saya tidak pernah menulis seserius ini – bicara karya Melayu Nusantara – peranan, tokoh dan masa hadapan. Ia sebuah perbualan santai tetapi penuh berisi. Sebuah persoalan yang menuntut jawapan yang tuntas. Oleh kerana soalan yang ditanya kepada saya bersungguh maka saya jawab juga secara bersungguh. Saya pernah ditegur kerana cara dan gaya penulisan saya yang tidak terurus seperti ejaan, sturktur ayat dan tatabahasa. Bercelaru. Tulisan saya dalam buku Membongkar Misteri Dajjal misalnya banyak kesalahan yang seolah-olah tiada upaya untuk diperbetulkan oleh editor. Saya akur dan mengaku terus- secara jujur tatabahasa, struktur ayat dan ejaan tidak menjadi fokus dan tabiat saya. Ia bukanlah satu kebiasaan atau sudah menjadi fikiran bawah sedar saya, mengenal dan mengesan kesalahan dan ketelanjuran yang berlaku bukan satu aksi sepontan. Saya lebih senang menulis dan terus menulis, ibarat melayan perasaan yang asyik. Soalan tadi seumpama teguran yang dalam; justeru saya belajar dari kesilapan, namun tidak mudah untuk mengubah ia dalam sehari dua.
Menulis adalah hobi saya, suatu minat yang amat mendalam. Tumbuh dan mekar dalam kehidupan saya. Saya boleh menulis ketika saya suka mahupun dipaksa. Tanpa sebatang pena pun saya mampu mengukir kata-kata indah di dalam kota fikiran saya. Ia satu anugerah. Tetap saja ia sebuah cetusan ilham indah buat saya.
Justeru soalan benarkah saya ini lahir dan lingkungan seni atau karyawan? Atau hanya penulis picisan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kenyataan itulah yang saya baca dari soalan yang diajukan, ia punya makna yang tersirat dari yang tersurat. Dia cuba menguji saya barangkali, oleh kerana itu saya tidak memberi jawapan sejurus pertanyaan. Saya diam mendengar bunyi hujan.
Hujan masih lagi turun lebat atau reda saya kurang pasti, kadar curahanya tidak saya edahkan sejak dari tadi. Hanya bunyi yang saya dengar dan tempais air yang sampai ke kaki dirasai. Hati dan fikiran saya terpaku pada soalan saudara saya tadi. Dia mengenal saya sebagai seorang penulis. Sungguh dia seorang yang cerdik dan prihatin. Dia bukan calang-calang orang, saya kenal dia dengan kerjayanya sebagai ahli perniagaan yang berjaya pernah bermula sebagai peguam dan kini menceburi perniagaan. Dia punya kelas yang tersendiri, dihormati pastinya. Justeru soalan tadi harus dijawab dengan baik dan jelas, agar ia mencerminkan siapa saya – bukan sekadar penulis misteri.
Saya belajar menulis dengan cikgu Hamedi Mohd Adnan (kini Dr. pensyarah penulisan di Universiti Malaya) di Yayasan Anda. Setenang orangnya setenang itulah saya menadah dan menimba ilmu darinya. Kuliahnya bagai curahan air gunung yang sejuk masuk mengalir ke dalam sanubari saya. Tidak pernah saya rasa penulisan yang banyak baik akhbar, majalah dan buku sebenarnya disusun dari himpunan kata-kata indah dan bermakna. Dari situ saya membina persepsi dan dunia penulisan saya. Tanpa sedar ia membentuk dan membesar. Saya diajar membaca karya berat dan sarat seperti karya Pramoedya Ananta Toer dalam Keluarga Geriliya. Saya hairan membaca buku ini, bagaimana penulis berupaya mencerita kisah sedih dan derita hanya dalam 3 malam sebuah drama berat yang bergerak dalam tempoh yang singkat. Saya takjub. Apa lagi cikgu sastera saya yang bijak mengulas seolah-olah dia terlibat sama dalam peritiswa hitam itu. Tanpa sedar semangat cerita dan sulaman indah sastera itu mengalir dalam diri saya.
Sejak dari itu saya tidak pernah berhenti, saya membaca dan terus membaca meluaskan horizon pemikiran dan bicara sastera saya. Saya bina galeri imu dalam alam dan dunia saya sendiri. Perlahan-lahan saya menulis. Saya tidak peduli dan orang tidak mempedulikan saya hatta isteri tercinta hairan dan takjub dengan fiil saya.
Siapa tidak kenal Adibah Amin buku dia saya baca, kerana sering saja dia tulis dengan gaya santai. Fikiran saya tenang membaca penulisan beliau. Mudah, padat dan ringkas. Saya ikuti penulisan Othman Puteh teori, pengalaman dan cabarannya. Mengajar saya menulis penulisan kreatif dan mengolah gaya penulisan cerpen. Penulisan wartawan A. Samad Ismail yang terus terang menjadikan saya bersemangat melihat dunia dengan ceritanya – politik, jenayah dan isu semasa. Ketika Reformasi-lah saya tahu orang sastera boleh bangkit memberontak seperti Shahnon Ahmad dengan istilah tahi yang jijik; dipukul rata poilitikus bebal dan pongos sehingga menikus. Saya masih tidak mengerti dari mana dia punya idea yang semacam itu sebuah karya jijik dan busuk menjadi indah dn harum di tangannya. Saya jadi berani ketika membaca buku Faisal Tehrani pemuda kurus yang gemuk idea. Apa lagi kalau bukan judul 1515. Faisal Tehrani menjadikan saya berani dan bersemangat. Perang Melayu di pantai dan muara sungai dikisahkan dengan dramatic. Cerita perang Melaka yang hidup. Membaca karya beliau seolah-olah menonton sinema Perang. Inilah karya dan sastera yang mencorak hidup saya.
Bagaimana saya menulis cerita agama kalau tidak terpengaruh dengan ketulenan gaya Pak Hamka. Buku ‘Kenang-kenangan’nya yanghidup segar tetapi abadi walaupun dia sudah pergi.
Sehingga kini mereka terus berkarya kecuali beberapa orang yang sudah tiada – pergi mengadap ilahi. Membentang kisah hidupnya di alam arwah pula.
Jika karya sastera boleh merubah dan meruntun jiwa saya, apakah tidak ia akan melakukan perkara yang sama bagi bangsa dan anak watan kita yang ramai di luar sana. Remja kita perlu disantuni dengan karya yang semacam ini. Sastera yang mampumengolah jiwa dan nurani. Saya adalah testimoninya. Hanya sanya jika mereka terus membaca dan menekuninya, karya demi karya dengan penuh minat. Ya, yang sudah tiada adalah minat atau barangkali minat mereka sudah beralih arah. Dari karya berat ke karya ringan. Karya serius ke karya picisan. Karya penuh makna ke karya hiburan. Karya dan sastera Melayu ke satera Harry Porter. Justeru apa dihairankan jika pemikiran anak muda dan remaja sedangkal ini. Berbalik dari kisah artis dan sukan. Kelab bola dan lakonan. Seputar itu.
Saya bercerita sederas air hujan yang turun. Tidak sedar tempais air membasahi kaki seluar. Di kaki lima itu, masih saya ingat bersama tokoh ahli perniagaan yang berjaya dan juga teman saya. Kami melihat hujan sebagai tanda rahmat. Tidak pernah katanya “… aku melihat musibah ini, anak remaja yang membuang anak luar nikahnya sebagai satu bencana; ia satu petanda untuk kita bangkit Lid.” Katanya memanggil nama singkatku. Melakukan sesuatu, membetulkan yang punah dan membina yang sudah ranah.” Aku tidak pasti apakah ada istilah ‘ranah’ itu tapi aku faham maksudnya. Inilah habuan kita katanya. Engkau tahu tak.” Sebagai seorang businessman ia sentiasa melihat peluang. Ketika London hancur di ledak bom Nazi Winston Churchill berdiri di atas runtuhan puing-puing kota itu. Sambil berkata kita akan bina semula kota besar ini. “You know what…” kata usahwan berjaya itu dengan slanga yang tepat. Ia telah memberi pulangan hebat kepada jurutera dan arkitek pada masa itu. Mereka menjadi jutawan dalam sekelip mata. Aku melihat langit dan hujan mula reda. Langit mula cerah. Pada saat itu aku tidak pernah melihat langit secerah itu. Aku melihat harapan, sepertimana teman aku menceritakan. Ya, di hadapan kita bukanlah musibah dan bencana ia adalah tugas dan peranan untuk mereka yang sudah bersedia. Membina anak remaja ini yang rosak dan hilang harapan. Kasihan katanya. Masih bersimpati pada mereka yang melakukan dosa. Tidak ku sangka teman ku berjiwa murni dan sufi.
Dari bicara sastera asalnya berakhir dengan bicara penuh makna. Satu kesimpulan yang menyentap hati sanubari. Satu makna dari satu peristiwa. Demikianlah jika bicara itu disapa dan diadun dengan bersungguh. Saya dan dia tidak hanya berbual kosong. Dia bertanya dengan penuh kesungguhan saya menjawab dengan penuh uapaya dan berakhir dengan penuh makna. Setelah hujan berhenti kami mengambil haluan masing-masing dengan tekad membina yang sudah punah ranah dalam dunia dan alam masing-masing. Kaki seluar saya basah tetapi saya tidak endah, ada tugas besar yang menanti untuk disudahi. Saya mengucap salam dan berlalu pergi.

